Sabtu, Februari 28

Pria Ganteng balik rumah

Khamis, 2 minit nak pukul 4 petang, Ummi call akoo dari Hospital Dungun. Adam Danial dah boleh balik rumah. Horray! Tapi sebenarnya bacaan kuning Adam Danial masih dalam tahap berjaga-jaga tapi sudah turun dari semalamnya. Akoo pun bergegas pulang ke rumah, ambil kereta dan terus ke Dungun.

Sampai aje kat Wad 4 ternampak Adam Danial berseorangan je di katil Ummi rupanya tengah bersiap kat dalam bilik air. Tapi sebelum boleh balik, Ummi kena cuci luka dulu di wad bersalin. Maka tinggallah Adam Danial yang tengah tidur sambil akoo temankan. Pada mulanya semua berjalan seperti yang dirancang - Adam Danial tidur dan akoo tengok dia tidur tetapi tiba-tiba boleh pula si budak bertuah ini terjaga dari tidur yang lena dan menangis.

Akoo sebagai bakal bapa mithali terus angkat Adam Danial, dukung untuk memujuk ternyata ia suatu percubaan yang berjaya untuk beberapa saat dan selepas itu dia tetap mahukan Umminya. Mungkin dia belum kenal sangat dengan akoo sebab sebelum ini akoo jarang memegangnya sebab akoo demam. Mahu tidak mahu, akoo bawa Adam Danial ke wad bersalin namun Ummi masih dalam bilik rawatan. Maka tiada pilihan lain, terpaksalah akoo mendengar teriakan Adam Danial yang mahu menyusu.

Apabila semua sudah selesai, Ummi memangku Adam Danial ke dalam kereta. Walaupun Ummi tidak suka tempat duduk Recaro kereta akoo kerana keras dan rendah membuat Ummi tidak selesa, tetapi Adam Danial pula sebaliknya. Dia ternyata seronok dipangkuan Ummi sambil melalui perjalanan yang terhentak-hentak di dalam sebuah kereta sukan buatan Malaysia. Adam Danial juga sempat tersedu-sedan menandakan sudah mahu membesar bagai JoeHaN.

Sesampainya di rumah, sudah ada tetamu menunggu kepulangan Adam Danial, Kak Pah rumah depan kubur yang dari dulu sudah membuat 'booking' nak jaga Adam Danial. Ternyata Adam Danial sangat gembira pulang ke rumah apabila sibuk bercerita kepada semua orang terutama kepada Opah. Akoo sempat merakam video Adam Danial bercerita.

Dan bermulalah malam berjaga untuk akoo. Beberapa kali akoo sempat terjaga untuk mengangkat Adam Danial yang mahu menyusu. Ummi tidur di atas katil namun Adam Danial tidur di bawah. Hanya pada menjelang subuh akoo tidak terjaga walaupun telah dipanggal oleh Ummi nasib baik Opah telah bersedia untuk membantu Ummi.






Jumaat, Februari 27

Last day Pria Ganteng kat Wad 4

Ni ada skit gambar Adam Danial sejurus sebelum keluar dari Wad 4, Hospital Dungun. Masa ni tengah tunggu Ummi bersiap.

Tengah happy nak balik rumah


Ummi lambat lagi ke? Nak tido dulu la cam nih...
Eee.... Lebatnya rambut! Sume orang dok tegur rambut Adam Danial

Hai... Nama saya Adam Danial


Mimpi score goal ke mimpi buat drop goal? Nak main striker ke fly-half?

Khamis, Februari 26

Gambar Pria Ganteng bawah lampu

Sementara akoo nak update cerita Adam Danial keluar hospital, akoo tunjuk dulu gambar Adam Danial masa lepak bawah lampu ultra ungu kat wad tempoh hari

Pria Ganteng masih di wad

Adam Danial telah berada di wad 4 Hospital Dungun sejak hari Ahad lalu kerana kuning. Bacaannya pula semakin naik 152-188-200-220. Bacaan terakhir pada pagi hari Rabu 25 Februari. Namun menurut pemerhatian doktor seakan tiada lagi kuning pada Adam Danial.

Namun apabila cik misi memberitahu yang bacaan kuningnya semakin naik, doktor agak terkejut juga namun sempat memberi tahu yang bacaan itu sebenarnya agak rendah juga. Doktor juga sempat memujuk Ummi supaya bertenang untuk menunggu hari esok. Sekiranya bacaan bertambah baik, maka kemungkinan untuk pulang ke rumah agak cerah.

Apa yang pasti, akoo melihat Ummi semakin sihat dan sedikit ceria dan tidak lagi bersedih sebelum ini. Namun Adam Danial semakin suka tidur di bawah lampu ultra-ungu itu dan sukar dikejut untuk menyusu. Cik misi memberi tahu memang bayi yang sedang kuning amat suka tidur kerana keletihan.

Akoo doakan Adam Danial agar cepat sembuh dan boleh pulang ke rumah. Ramai yang menanti Adam Danial di rumah termasuk kucing jiran sebelah rumah. Petang tadi akoo sempat membeli anggur hitam untuk rawatan kuning Adam Danial.

Rabu, Februari 25

Pria Ganteng menerima kad kuning

Ahad akoo mengambil cuti dan membawa Uwan ke hospital. Atuk tidak ikut serta namun dia pergi berjalan-jalan. Opah pula bersedia di rumah untuk menerima kehadiran orang baru. Akoo yang optimis untuk membawa pulang Adam Danial dikejutkan berita kuningnya. Adam Danial bakal ditahan wad bagi merawat demam kuningnya itu. Bacaan kuning (Berillium) Adam Danial adalah 152.

Sementara itu akoo dan Uwan ke kedai mencari barangan untuk Ummi dan Adam Danial. Dan kira-kira pukol 3 Ummi memberitahu akoo perlu membuat pembayaran perbidanan dan membuat pendafataran wad kanak-kanak bagi Adam Danial. Adam Danial di tempatkan di katil no 8 dan menerima sinaran lampu ultra-ungu. Mungkin Adam Danial tidak mendapat susu yang cukup sebelum ini membuatkan akoo berkejaran membeli susu tepung untuk bayi walaupun akoo kurang bersetuju untuk menggunakannya.

Ummi kelihatan agak sedih melihatkan Adam Danial terpaksa bermalam di wad. Sebelum pulang petang itu, akoo sempat membelikan susu untuk ibu menyusu buat Ummi.

Sedang akoo membuat unggun api di atas tempat uri, Ummi memberi tahu yang tidak larat untuk berada di samping Adam Danial malam itu. Akoo yang masih kepanasan terus bersiap dan Opah mengikut sekali ke hospital. Opah cuba masuk berjumpa Ummi dan Adam Danial namun hanya sementara apabila pengawal mencari dan meminta keluar. Kami menunggu di luar wad dan Opah mengambil keputusan untuk tinggal di situ.

Menanam uri si Pria Ganteng

Sesampai di rumah, Uwan memberi arahan untuk proses menanam uri. Antara bahan awal yang akoo perlu sediakan adalah limau dan tempurung kelapa. Akoo terus ke pasar malam membeli limau dan ke kedai runcit mencari tempurung. Sesambil itu akoo sempat membeli makan malam untuk semua serta sepasang sandal putih.

Proses bermula dengan Opah membersihkan uri dengan limau. Akoo dan Uwan pula membersihkan tempurung kelapa. Uri yang siap dibasuh diletakkan di dalam kain putih dan dimasukkan ke dalam tempurung. Akoo pula menggali lubang di belakang rumah sedalam yang mungkin menggunakan cangkul kecil.

Dengan mengadap kiblat dan membaca selawat, al-Fatihah, al-Kursi dan surah 3 Qul akoo menanam uri dengan tanah, pasir dan batu. Selesai menanam, api dihidupkan di atasnya supaya uri tersebut cepat kering. Batu dilonggokkan di atasnya bagi mengelakkan digali binatang buas.

Kelahiran Pria Ganteng

Waktu melawat 12.30pm dan akoo menuju ke katil 11. Ummi tiada di katil sudah pasti berada di bilik bersalin. Tiba-tiba kedengaran esakan bayi baru lahir dari bilik bersalin itu. Sejurus kemudian cik misi terpacul di muka pintu dan menyebut nama Adibah. Oh, bukan Ummi. Kemudian cik misi muncul lagi dan berkata - suami Siti Norfadzilah, nak masuk ke tak nak? Akoo terus mengekori cik misi ke ruang bersalin. Kelihatan Ummi sedang berjuang mengeluarkan Adam Danial bermula 12.45pm

Ummi sebenarnya tiada bertenaga kerana tidak makan sebelum itu. Namun tiada pilihan lain untuk terus berjuang. Akoo terus memberi semangat dan mengulangi perkataan push sebanyak mungkin. Namun Ummi tiada berupaya sehingga cik misi memasukkan air melalui tangan Ummi. Setelah itu Ummi terus mencuba membuat tolakkan namun kurang berjaya. Cik misi memintaku keluar sebentar dan berbuat sesuatu kepada Ummi. Kemudian mereka memanggilku semula dan kelihatan bahagian atas kepala dan rambut Adam Danial. Dengan sisa tenaga yang ada Ummi menolak dan lahirlah Pria Ganteng no. 1 - Adam Danial pada 1.23pm sedang bilal di masjid melaungkan azan seberat 3.15kg.

Gambar ehsan Tewo Laqroix


Akoo keluar semula bersujud syukur dan bersolat Zuhur sebelum akoo mengazankan Adam Danial. Namun Adam Danial memerlukan bantuan oksigen kerana agak lemah setelah proses kelahirannya yang agak lama. Ummi diberi tempoh sejam untuk membuat kelahiran atau dihantar ke Kuala Terengganu dengan risiko bersalin di dalam ambulan. Akoo kembali ke bangku sambil menunggu masa melawat di sebelah petang. Akoo mengambil kesempatan itu untuk memberitahu kepada Atuk, Uwan, Pak Sedara dan Mak Sedara Adam Danial. Atuk dan Uwan sudah dalam perjalanan dari Johol ke Dungun.

Semasa waktu melawat, Adam Danial sudah berada di sisi Ummi. Akoo memberikan senyuman buat Ummi dan mengucapkan tahniah dan terima kasih. Opah pun gembira melihat Adam Danial cuma agak pelik dengan kepala Adam Danial yang agak panjang. Kelihatan Ummi amat gembira namun sangat keletihan. Akoo sempat juga mendukung Adam Danial ketika mengalihkannya ke pangkuan Ummi.

Tetamu pertama yang hadir melawat Adam Danial dan Ummi adalah Mas Arman (Tewo) sekeluarga beserta Mas Arpin (Pin). Sempat mereka mengambil gambar Adam Danial. Dan selepas itu Atuk dan Uwan pun tiba dan Uwan terus mengambil peluang mendukung Adam Danial. Setelah tamat waktu melawat kami terus pulang ke Paka tinggallah Adam Danial dan Ummi berdua.

Menjelang kelahiran Pria Ganteng

Khamis malam Jumaat, akoo ke Surau PAS Kampung Limbong, Paka untuk membuat air selusuh dari air bacaan Ya-Sin. Sakhrim yang membawa akoo berjumpa Haji Nawi yang kebetulan menjadi imam solat Maghrib dan Isyak pada malam itu. 3 botol akoo sediakan. Semoga dengan adanya air selusuh ini dapat memudahkan proses kelahiran Adam Danial.

Jumaat malam Sabtu, kelihatan Ummi semakin gelisah. Adam Danial semakin mengeraskan diri bergerak ke bawah. Akoo yang letih setelah bermain di padang UiTM untuk pasukan Petronas bertemu UMT pun tidur agak lambat menemani Ummi. Akoo malam nih sengaja tidur di bawah kerana Ummi cakap akoo tidur agak lasak.

(2.15 pagi) Tiba-tiba tengah sedap tidur tu Ummi jerit panggil akoo. Mulanya akoo tak berapa nak layan sebab tidur lagi best. Tapi panggilan kali ke-2 dari bilik air membuatkan akoo bangun. Air ketuban dah pecah. Nampak ada segumpal darah. Akoo suruh Ummi bersiap dan akoo terus mengejutkan Opah Adam Danial yang tidur di bilik sebelah. Akoo terus call Atuk Adam Danial memberitahu akan hal tersebut. Dengan tenang akoo ambil beg-beg yang perlu dibawa dan yang paling penting - Buku Pink.

Dalam perjalanan ke Hospital Dungun, hujan turun mencurah-curah petanda rahmat-Nya ke atas bumi Paka yang sekian lama tidak disirami hujan. Akoo memandu secara amat berhati-hati sambil melemparkan senyuman kepada Ummi. Ummi, kita dah nak dapat baby.... Sampai di Hospital akoo terus ke Wad Bersalin dan menurunkan Ummi dan Opah serta Adam Danial yang masih di dalam perut. Selepas membuat pendaftaran wad, Ummi ditempatkan di katil sebelah. Katil sebelah mana pulak nih? Rupanya katil no. 11 dan akoo terus menghantar barangan di katil tersebut. Akoo dan Opah terus menunggu di luar dan akoo menyambung tidur di dalam kereta sehingga subuh. Kami sempat berjumpa Ummi namun hanya 2cm terbuka.

Akoo dan Opah pulang ke Paka, bersarapan dan akoo mahu melelapkan mata sebentar namun tiba-tiba sms dari Ummi membuatkan akoo bersiap semula dan terus ke hospital bersama Opah. Setibanya di katil 11, Ummi sedang berdiri ingin ke bilik bersalin. Akoo terus memimpin Ummi ke sana dan terus menunggu di luar sambil tidur di kerusi sehingga waktu melawat 12.30 tengah hari

Pra-kelahiran Si Pria Ganteng

Permulaan Adam Danial di dunia ini telah disedari pada bulan Jun 2008 setelah Umminya, tidak didatangi haid. Pada awalnya eksperimen awal telah dilakukan Ummi sendiri di rumah Pandan Indah dan telah disahkan kewujudan Adam Danial ini di Klinik Idzham, Pandan Indah. Akoo mengucapkan syukur setelah doktor mengucapkan tahniah kepada kami berdua.

Seterusnya kami menggunakan kesempatan klinik panel Malaysian Electronics Materials (MEM) di Selangor Medical Center (SMC) untuk membuat pemeriksaan dengan ultrasound. Kelihatan Adam Danial masih kecil lagi namun cukup untuk memastikan dia berada di dalam rahim Ummi.

Kemudian akoo telah berpindah ke Paka, Terengganu dan kami membuat pemeriksaan ultrasound di Klinik Habibah, Paka. Kelihatan Adam Danial sangat cergas berguling-guling di dalam perut Ummi. Akoo agak kagum dengan kebesaran Allah ini dan bagaikan suatu perasaan yang tidak pernah dirasai sebelum ini. Adam Danial sangat aktif! Keesokkan harinya akoo menulis di forum ProtonCoupe.Com tentang Adam Danial.



Bayi guling-guling....
..... dalam rahim mak dia...
nih pengalaman
akoo semalam...
semalam akoo antar bini akoo wat ultra sound kat klinik kat
sini
dulu pernah gi sekali
gambar dia macam serupa lebih kurang ngan bro
Azran (Putrajaya) punye
gambar
baby pun tak de bentuk lagik
diam
aje..

kali nih baby dah ada bentuk dah ada kepala, kaki, tangan,
jantung...
kalau dulu akoo ingat an baby nih dok lepak aje
tapi rupanya
dia dok dalam rahim tu dok pusing2dok angguk2 kepala..
dok sedu sedu
kejap
ke belakang
jap ke depan
jap terbalik...
aktif
gila...

so...
ada satu perasaan lain bila tengok mende tu kat
dalam perut mak dia..
ish...
tak dapat digambar kan...
mungkin sebab
akoo first time nak ada anak kot...

Itulah kali terakhir gambaran Adam Danial dirakamkan. Sengaja akoo tidak mahu tahu jantina kandungan itu. Biarlah Rahsia. Namun petanda awal sudah menampakkan kandungan itu seorang Pria Ganteng. Setiap bayi lelaki akan merengek tatkala Ummi mahu mendukungnya manakala bayi perempuan hanya kelihatan damai dan santai apabila digendong Ummi. Lagipun perut Ummi juga menunjukkan seorang bayi lelaki.
Ummi telah membuat pemeriksaan tetap 2 kali seminggu di Klinik Kerajaan Paka tanpa gagal. Ummi juga telah mengambil semua ubat yang diberikan farmasi klinik itu. Dan Adam Danial terus cergas di dalam perut Ummi dengan selalu bergerak-gerak di dalam perut Ummi bagai memberi tahun supaya Ummi menunggu kelahirannya kelak.