Khamis, September 16

Adam di rumah





Dah lama abie x update cite Adam... skang ni Adam dah berumur 1 tahun 6 bln dan 26 hari... dah besar dah anak ummie.. dan mcm2 ragam nye..

Dan setengah bulan Adam dok ngan ummie kat umah.. sbb ummie dah x keje buat sementara waktu... jenuh ummie nak layan Adam... Adam suka sgt menambah keje ummie kat umah.. penat ummie dibuat nyer...

Aktiviti Adam arini.. pg2 dah ajak ummie main ABC dan 123.. tp sampai no 9 je Adam x bleh nak sebut.. mgkn sebab panjang tuk dia sebut kot... paling Adam suka ialah uruf C sebab C adalah CICAK.. hahaha.. nape la Adam suka sgt ngan cicak...


Lebih kurang kul 11, Adam dah x senang duduk kat dlm umah.. dah boring agak nye.. dia amik tudung ummie dan suh ummie pakai dan pegi kat pintu ajak kuar umah... bertuah punye budak.. sian la plak kat Adam... so ummie pon kuar la kat laman ngan Adam... sambil tu ummie pon sapu la daun2 kering.. Adam plak...? ape lg tolak tarik ampaian la.. sbb bola dah xde.. x tau mane abie simpan... kejap jer la kat luar sbb panas... takut Adam demam plak..


petang ummie ingat nak bawak Adam g umah Tok.. tp ummie rasa x larat plak nak bawak Adam.. so ummie tggu abie balik la... bile abie balik g la umah tok.. tp xde org.. so g la jln2 jap.. n singgah jap kat taman permainan... Adam pon main la gelongsor ngan kuda goyang2.. suh naik buaian x nak la plak.. tp ada satu menda yg paling dia suka... basikal... tp tu basikal org la Adam.. nanti ummie bli ye.. Adam kena besar skit lg..



mlm plak Adam x nak makan nasi... kenyang minum susu kot.. sbb arini byk minum susu... main kejap ngan abie.. pehtu nak main ngan ummie lg.. ummie penat la sayang.. Adam main la ngan abie.. adam biasa nye x nak main ngan abie sbb... klu ngan abie.. Adam kena main ngan abie.. bukan nye abie main ngan Adam... tu la sbb nye kot Adam prefer ummie lg main ngan Adam.. xpe la mcm2 mane pon asalkan Adam happy..

Selasa, Mac 10

Pria Ganteng potong rambut

Bersempena dengan cuti Maulidur Rasul (9 Mac) akoo ambil keputusan untuk memotong nipis rambut Adam Danial kerana ruamnya yang semakin teruk terutama di bahagian ubun-ubun. Sekarang ruam Adam Danial yang paling merisaukan kami kerana kuningnya sudah menunjukkan pengurangan (217) semasa pemeriksaan semalam. Cik Misi pun meminta kami membawa Adam Danial berjumpa doktor pada Selasa (10 Mac). Sedang bersiap-siap hendak memotong rambut, tuan rumah datang untuk menukar pam air.

Bermula dengan gunting kecil dan sikat, Adam Danial seakan tidak selesa dan agak meronta-ronta. Rupa-rupanya gunting itu tidak berapa tajam dan menarik-narik rambutnya. Lalu Opah mengambil pisau besar pula dan ternyata Adam Danial agak selesa semasa digunting rambutnya mengguna gunting besar. Namun tidak dapat menggunting keseluruhan rambutnya terutama di bahagian belakang apabila Adam Danial sudah tidak selesa lagi.


Dan setelah Adam Danial selesai berpakaian untuk tidur dengan rambut yang baru, jiran-jiran pula datang melawat. 4 orang dewasa kesemuanya, jiran di sebelah kanan rumah anak-beranak. Kali ini Adam Danial tidak menerima sebarang pujian kerana kelebatan rambutnya yang kini telah dipotong pendek.


Kini Adam Danial semakin manja terutama dengan Ummi. Pantang Ummi tidak kelihatan, Adam Danial akan membuat bunyi-bunyian untuk menarik perhatian Ummi. Adam Danial juga kelihatan semakin tembam namun terlindung oleh ruam-ruam yang banyak.



















Ahad, Mac 8

Pria Ganteng si budak bertuah

Setelah tidak berjaya mendapatkan pemeriksaan pada hari Khamis, kami diminta pula datang pada hari Jumaat yang merupakan cuti di Terengganu. Dengan perasaan bercampur-baur kami bersiap juga dengan harapan dapat juga dibuat pemeriksaan. Macam biasa Adam Danial dimandikan Opah pada pukul 8 lebih.

Akoo cuba tolong lap-lap badan dia. Sekali dia boleh kentut seperti biasa yang akan sekali dengan bahan buangan. Sah, memang ada sikit dan kena pada kain lapik tilam. Dan yang paling bertuah sekali buat Adam Danial, semasa akoo dan Opah nak bersihkan bahan buangannya, dia boleh menembak kami dengan pistol airnya. Memang bertuah betul 'budok kecek' ini.

Sesampainya di Klinik Paka akoo terus memberitahu orang makmal yang kami sudah sampai dan rupanya ada beberapa orang lagi yang hendak memeriksa kuning. Ada seorang bayi lahir sehari selepas Adam Danial dengan berat 4kg++! Betapa besar dan montelnya bayi itu. Tapi tidak boleh menyaingi Adam Danial yang tidak menangis ketika kaki dicucuk dan darah diambil. Tapi yang tidak seronoknya, kuning Adam Danial menaik lagi ke 250 (dari 243) tetapi Cik Misi tidak menyuruh kami ke Hospital Dungun namun sebaliknya perlu melakukan pemeriksaan ulangan pada Ahad dan berjumpa doktor bertugas. Selepas itu akoo bawa Ummi dan Adam Danial yang tidur sehingga ke Kerteh untuk berjalan-jalan tengok api (flare) di kawasan perindustrian Kerteh.

Petangnya pula, Adam Danial dikunjungi oleh tetamu lagi bermula dengan keluarga Wan Azhari (pegawai akaun Velosi), keluarga Najib dan keluarga Fadhil aka Mike (Ethylene). Meriah juga suasana di rumah pada masa itu terutama apabila anak-anak Najib dan Mike berpesta. Dan tidak lupa juga Adam Danial membuat skil kentut di hadapan tetamu. Memang si budak bertuah ini mempunyai kentut yang agak kuat juga. Sepanjang pengalaman akoo dengan adik-adik dulu memang tak pernah ada ingatan terhadap mereka kentut dengan kuat.

Khamis, Mac 5

Pria Ganteng didaftar dan kisah Klinik Paka

Memang akoo bercadang hendak daftarkan Adam Danial pada hari ini, Khamis 5 Mac 2009 kerana minggu lepas sepanjang minggu Adam Danial di wad. Awal minggu ini pula Julie datang dari Miri untuk urusan ISO9001 di pejabat ni jadi akoo selesaikan mana yang patut. Lagi pun tempoh pendaftaran percuma untuk kelahiran adalah 14 hari. Malam tadi akoo siapkan isi borang dan pagi-pagi akoo membuat salinan fotokopi di pejabat.

Sampai di Pejabat Pendaftaran Dungun, ambil nombor giliran dulu 2015 dan giliran pada masa itu adalah 2013. Dan bila nombor dipanggil akoo terus je ke kaunter dan beri semua dokumen yang akoo dah susun ikut tertibnya. Itu pun kerani tu nak marah sebab fotokopi kad pengenalan di 2 muka yang berasingan. "Ni mesti buat di muka yang sama" - Nak aje akoo jawab - "Takde pun tulis kat situ kena buat di muka yang sama." Benda kecil pun nak dihebohkan. Mujur tiada masalah lain selepas itu dan semuanya selesai dengan lancar dengan bayaran RM3. Selepas menunggu sekejap, Surat Beranak Adam Danial pun siap dan dalam tempoh sebulan MyKid pula siap. (Katanya...)

Selepas itu akoo singgah sekejap membayar hutang di Court (Maut) Mammoth dan terus bergegas pulang sebab Ummi telefon cakap pasal Cik Misi datang rumah tengok Adam Danial. Cik Misi cakap Adam Danial mungkin kena jangkitan kuman masa proses kelahiran dulu. Luka pusat Adam Danial pun belum kering dan perkara-perkara itu yang buatkan kuningnya masih tinggi. Tapi Cik Misi pun agak pelik juga bila melihatkan Adam Danial yang sangat cergas dan aktif tidak seperti bayi kena sakit kuning. Ummi cakap Adam Danial sempat kentut depan Cik Misi lagi. Tergelak Cik Misi tengok gelagat Adam Danial yang nak mengurat Cik Misi dengan kentut dia.

Tanpa berlengah, kami terus ke Klinik Paka dan ke bahagian makmal. Tapi nyata bilik itu kosong dan tiada orang yang datang pun ke bahagian sakit luar. Orang klinik yang ada di situ pun cakap tiada orang bekerja hari ini. Padahal orang makmal juga yang suruh kami datang. Kami ke bahagian Ibu dan Bayi pula. Kelihatan ramai Cik Misi tengah lepak di situ. Bila kami bercerita pasal kunjungan Cik Misi yang datang ke rumah pagi itu, mereka tetap dengan pendirian bahawa itu hanya ruam biasa dan meminta pula untuk datang esok untuk membuat pemeriksaan kuning.

Akoo tau Ummi dah nak marah tapi Ummi diam aje. Akoo memang tidak mahu bersuara sebab takut habis semua Cik Misi kena masuk wad akibat terkejut sakit jantung. Maka kami pun pulang dan disambut Opah dan Adam Danial hari ini dapat pergi berjalan-jalan naik kereta sukan buatan Malaysia. Akoo nak tengok apa pula permainan orang Klinik Paka esok.

Rabu, Mac 4

Kuning Pria Ganteng bertambah lagi

Walaupun bacaan kuning Adam Danial sudah menunjukkan penurunan pada Isnin lepas (193) tapi masih perlu buat pemeriksaan ulangan di Klinik Paka hari ini (Rabu). Walaupun Terengganu cuti hari ini, tapi ada orang 'stand-by'.

Pagi-pagi lagi Adam Danial dah bangun tidur dan terus berjaga sehingga pukul 9 lebih. Dengan 'confident' akoo, Ummi dan Opah yakin yang bacaan kuning Adam Danial akan terus bertambah baik. Dalam pukul 10 pagi kami bertolak ke Klinik Paka dan sampai di klinik tiada siapa pun. Jadi kami tunggu sehingga orang makmal sampai. Seperti biasa, Adam Danial tidak menangis pun masa darah dia kena ambil. Mungkin sebab dia tengah syok tidur.

Tetapi semasa keputusan keluar, bacaan kuning Adam Danial menaik sehingga 243! Naik 50 dari bacaan 2 hari lepas. Akoo macam tidak percaya kepada keputusan itu dan agak ragu-ragu dengan kredibiliti orang makmal itu. Al-maklumlah hari ini cuti dan dia dalam mood 'stand-by' takut mempengaruhi cara kerjanya. Tapi akoo tidak betah menyerang orang makmal itu.

Dia pun sedaya upaya cuba menghubungi Cik Misi yang bertugas untuk memeriksa Adam Danial namun Cik Misi dalam misi kejuru rawatan di Santong dan agak jauh dari klinik. Cik Misi meminta untuk membuat pemeriksaan ulangan sekali lagi esok (Khamis).

Kemudian kami ke Klinik Iddrus pula untuk membuat pemeriksaan ruam Adam Danial. Bak kata Ummi, walaupun Adam Danial berambut lebat, berbulu dan bermuka lebar macam akoo tapi kulit dia agak sensitif macam Ummi. Doktor memberikan ubat sapu dan antibiotik dan beliau mencadangkan untuk membelikan sabun PH5 Eucerine untuk Adam Danial di farmasi kerana kliniknya kehabisan stok. Maka kami pun ke Farmasi Razzaq untuk membeli sabun itu walaupun orang farmasi lebih mencadangkan sabun Sebamed.

Selasa, Mac 3

Hari pertama Pria Ganteng di rumah

Hari pertama Adam Danial di rumah, dia kena jemur selepas Opah mandikan dia. Sesungguhnya suatu suasana baru utk Adam Danial. Pun begitu dia sudah mula bercerita dan senyum-senyum. Tapi biasanya Adam Danial akan tersenyum selepas membuang air besar. Atuk pula hantar ubat Homoeopathy untuk kuning Adam Danial melalui bas ekspress Transnasional yang tiba di Paka dalam pukul 5.15 petang. (Same day delivery tu!) Adam Danial sudah mula minum ubat titis yang dicampur sebanyak 2 titik di dalam 1 0z air suam. Bagai mana hendak disukat 1 oz tu? - Gunalah botol susu.

Hari kedua di rumah bersamaan genap umur seminggu pula Adam Danial kena pergi Hospital Dungun lagi. Tapi sebelum tu kenalah berjemur dulu sikit dan selepas Ummi bersiap barulah gerak dan masa tu agak lambat juga. Lama juga menunggu giliran di bahagian Kecemasan. Adam Danial tidak menangis masa darah di tumit di ambil Cik Misi. Bacaan kuning Adam Danial naik sedikit ke 200 lebih tetapi tidak perlu ditahan wad kerana maksimum 255. Hari Isnin kena ke Klinik Paka pula untuk pemeriksaan. Selesai di Hospital Dungun, kami ke kedai Sura Gate melihat-lihat 'carrier' kerana Mak Lang Anum nak sponsor untuk Adam Danial sempatlah beli lampin pakai buang yang ekonomi sebab Adam Danial suka dan selalu membuang air besar.

Masa petang, Adam Danial didatangi 2 tetamu - Kak Sal tuan rumah dan Kak Nelly jiran sebelah. Dua-dua pun bawa hadiah untuk Adam Danial sempatlah dia bergambar sambil tidur. Kak Nelly lepas itu tunjuk rumah Mok Teh untuk urut Ummi.

Sabtu, Februari 28

Pria Ganteng balik rumah

Khamis, 2 minit nak pukul 4 petang, Ummi call akoo dari Hospital Dungun. Adam Danial dah boleh balik rumah. Horray! Tapi sebenarnya bacaan kuning Adam Danial masih dalam tahap berjaga-jaga tapi sudah turun dari semalamnya. Akoo pun bergegas pulang ke rumah, ambil kereta dan terus ke Dungun.

Sampai aje kat Wad 4 ternampak Adam Danial berseorangan je di katil Ummi rupanya tengah bersiap kat dalam bilik air. Tapi sebelum boleh balik, Ummi kena cuci luka dulu di wad bersalin. Maka tinggallah Adam Danial yang tengah tidur sambil akoo temankan. Pada mulanya semua berjalan seperti yang dirancang - Adam Danial tidur dan akoo tengok dia tidur tetapi tiba-tiba boleh pula si budak bertuah ini terjaga dari tidur yang lena dan menangis.

Akoo sebagai bakal bapa mithali terus angkat Adam Danial, dukung untuk memujuk ternyata ia suatu percubaan yang berjaya untuk beberapa saat dan selepas itu dia tetap mahukan Umminya. Mungkin dia belum kenal sangat dengan akoo sebab sebelum ini akoo jarang memegangnya sebab akoo demam. Mahu tidak mahu, akoo bawa Adam Danial ke wad bersalin namun Ummi masih dalam bilik rawatan. Maka tiada pilihan lain, terpaksalah akoo mendengar teriakan Adam Danial yang mahu menyusu.

Apabila semua sudah selesai, Ummi memangku Adam Danial ke dalam kereta. Walaupun Ummi tidak suka tempat duduk Recaro kereta akoo kerana keras dan rendah membuat Ummi tidak selesa, tetapi Adam Danial pula sebaliknya. Dia ternyata seronok dipangkuan Ummi sambil melalui perjalanan yang terhentak-hentak di dalam sebuah kereta sukan buatan Malaysia. Adam Danial juga sempat tersedu-sedan menandakan sudah mahu membesar bagai JoeHaN.

Sesampainya di rumah, sudah ada tetamu menunggu kepulangan Adam Danial, Kak Pah rumah depan kubur yang dari dulu sudah membuat 'booking' nak jaga Adam Danial. Ternyata Adam Danial sangat gembira pulang ke rumah apabila sibuk bercerita kepada semua orang terutama kepada Opah. Akoo sempat merakam video Adam Danial bercerita.

Dan bermulalah malam berjaga untuk akoo. Beberapa kali akoo sempat terjaga untuk mengangkat Adam Danial yang mahu menyusu. Ummi tidur di atas katil namun Adam Danial tidur di bawah. Hanya pada menjelang subuh akoo tidak terjaga walaupun telah dipanggal oleh Ummi nasib baik Opah telah bersedia untuk membantu Ummi.